Tian Chua Didapati Bersalah, Bakal Diadakan PRK Di Parlimen Batu?

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Tian Chua, dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan selepas Ahli Parlimen Batu itu didapati bersalah melanggar arahan polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), dua tahun lalu dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tian Chua yang hadir ke mahkamah memakai kot hitam dan seluar kelabu, kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan.

Benar tangguh hukuman

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam tertuduh, Eric Paulsen, menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara bagi membolehkan rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi selain menaikkan jumlah jaminan daripada RM500 kepada RM1,000.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, didapati bersalah tidak mematuhi arahan Deputi Superintendan A Rajakopal, untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di PULAPOL, Jalan Semarak, jam 2.39 pagi, 29 April 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298). Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Tian Chua kerana pertuduhan membabitkan kesalahan serius, sedangkan Ahli Parlimen itu seharusnya memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi. - BH

Post a Comment

0 Comments