Wakil Rakyat Perlu Responsif, Bukan Defensif.



Semalam saya mengutarakan perihal wakil rakyat yang cakap cukup lebat tetapi apa kerja pun dia tak buat.Hari ini kita mengutarakan pula apakah bidang tugas sebenar wakil rakyat sebagaimana yang dituntut.

Ia bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai tugas wakil rakyat menurut persepsi intelektual yang direncanakan oleh Dr Shamrahayu A Aziz bhrencana@bh.com.my bertajuk "Wakil rakyat perlu responsif kepada keperluan masyarakat"

Apakah harapan kita kepada wakil rakyat? 'Wakil Rakyat' adalah mereka yang dipilih sebagai wakil menerusi sistem pilihan raya. Secara umumnya, ada tiga fungsi utama wakil rakyat.


Pertama, sebagai mekanisme penyampai pendapat dan kehendak rakyat. Kedua, sebagai pembuat atau penggubal undang-undang (legislatif) dan terakhir, sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif.

Seorang yang dipilih sebagai wakil rakyat, salah satu peranan utama mereka ialah mewakili rakyat kawasan pilihan rayanya. Justeru, wakil rakyat terbabit menggalas amanah besar yang hendaklah ditunai dengan jujur dan bijaksana seperti kehendak mereka yang berada di daerah pilihan rayanya.


Wakil rakyat itu bukan saja mewakili rakyat yang mengundi mereka ketika pilihan raya, malah rakyat yang tidak menyokong atau tidak mengundi mereka ketika pilihan raya. Dalam perkhidmatan wakil rakyat, hendaklah wujud ruang untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat dan bantuan.

Jaga kepentingan rakyat Selain itu kepentingan rakyat boleh dijaga dengan saluran bantuan serta projek tempatan. Wakil rakyat hendaklah menyediakan akses maklumat kepada rakyatnya mengenai agenda penting negeri atau negara.

Wakil rakyat juga perlu membabitkan rakyat dan menjelaskan peranan mereka dalam konflik serta perlu membina konsensus dan mencapai penyelesaian. Wakil rakyat perlu responsif kepada keperluan rakyat.

Secara umumnya, peranan wakil rakyat sebagai wakil kepada rakyat, hendaklah membuat rakyat berasa mereka diwakili oleh wakil yang mereka secara majoriti telah pilih. Amanah lain yang digalas oleh seorang wakil rakyat ialah membuat undang-undang.

Apabila seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat, maka secara automatik beliau menjadi ahli badan legislatif. Maksudnya, wakil rakyat juga adalah seorang ahli Dewan Perundangan dan merangka undang-undang bagi negeri atau negara.

Sebagai ahli Dewan Perundangan, wakil rakyat adalah golongan legislatif yang bukan saja membuat undang-undang bagi rakyat di kawasan pilihan raya mereka, tetapi menggubal undang-undang bagi keseluruhan negeri (bagi Dewan Undangan Negeri) atau negara (bagi Ahli Dewan Rakyat). Wakil rakyat, dengan baju 'legislatif; membuat undang-undang termasuk beberapa aktiviti perundangan yang berkaitan.


Peranan legislatif bukan semata-mata menggubal undang-undang, tetapi memantau pelaksanaan undang-undang dan kesan undang-undang yang telah digubal. Oleh itu sebagai legislatif, mereka hendaklah berfikiran jauh, memberi perhatian kepada hala tuju negara dan memenuhi dasar negara.

Apa yang penting dilakukan oleh legislatif ialah mengambil peluang dengan sebanyak dan sebaik mungkin dalam membahaskan rang undang-undang demi kepentingan negara, bukan untuk kepentingan atau agenda parti politik mereka semata-mata.

Anggota legislatif biasanya boleh menggunakan pelobi untuk agenda negara, bukan untuk agenda parti politik mereka. Bahaya utama dalam membuat undang-undang adalah sikap berat sebelah yang terlalu banyak wajaran politik. Sikap sebegini akan melemahkan Dewan Perundangan dan seterusnya merosakkan negara.


Kelompok legislatif bukan sahaja berfungsi untuk membuat undang-undang, mereka juga bertujuan menangani masalah yang dihadapi negara. Semak dan imbang Selain dua tugas penting di atas, wakil rakyat mewakili mekanisme semak dan imbang; menyemak dan mengimbangi kuasa eksekutif, terutama jemaah menteri.

Ini adalah amanah besar dalam demokrasi. Dewan Perundangan (Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, di Parlimen) adalah satu cabang berasingan daripada cabang-cabang pentadbiran lain, iaitu eksekutif dan kehakiman (walaupun dalam sistem pentadbiran ala-Westminster,


British ada pertindihan dari segi keahlian, yang mana ahli eksekutif, iaitu jemaah menteri, adalah Ahli Dewan Parlimen). Dewan ini ditugaskan untuk menyemak pelaksanaan kuasa oleh pihak eksekutif.

Dalam melaksanakan tugas sebagai mekanisme semak dan imbang, wakil rakyat dibekalkan dengan prinsip jemaah menteri yang bertanggungjawab secara berkumpulan. Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat.

Dengan kata lain, wakil rakyat hendaklah menyemak dan mengimbangi tindakan eksekutif. Oleh itu, wakil rakyat bukanlah 'rubber stamp' kepada pihak eksekutif. Justeru, harapan kita kepada wakil rakyat, sudah pasti untuk mereka melaksana amanah dengan baik sehingga mampu menyelesaikan masalah, bukan saja masalah dalam kawasan mereka, tetapi juga menyelesaikan masalah negara.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Post a Comment

0 Comments