Orang Melaka boleh terus berbangga dengan Baba dan Nyonya mereka. Kami akan tetap bersama Mek dan Awang kami. Jom bersama kita hayati dan mengenali 6 pegangan Mek Awang Terengganu yang menjadikan mereka sebagai darling kita semua.
Di Terengganu masyarakat Cina Peranakan kita panggil sebagai Mek dan Awang. Mereka bertapak di negeri ini sejak abad ke-16 dan ke-17 yang membentuk satu golongan etnik unik dan istimewa.
Masyarakat Cina Peranakan Terengganu yang kebanyakannya berasal dari daerah Fujian, China, berhijrah ke negeri ini ketika pemerintahan Dinasti Qing dan mereka yang berbangsa Hokkien kebanyakannya nelayan di negara asal sebelum berhijrah ke Terengganu untuk mencari rezeki.
Istimewanya golongan ini adalah melalui percakapan dan pertuturan kerana 70 peratus komunikasi mereka menggunakan bahasa Melayu loghat Terengganu.
Setiausaha Koperasi Kampung Cina Kuala Terengganu Berhad, Yap Chuan Bin, 64, berkata terdapat enam pegangan utama diamalkan komunitinya iaitu cara hidup, adat, tradisi, kepercayaan, percakapan dan pakaian menyerupai masyarakat Melayu.
Malah, paling utama ialah mereka menganggap Terengganu sebagai tanah tumpah darah mereka.
"Jika masyarakat Melayu makan menggunakan tangan, begitu juga dengan kami malah kami menggunakan meja bersegi empat untuk makan bukannya meja bulat seperti masyarakat Cina lain.
"Kami mengamalkan tradisi kesyukuran menyambut kelahiran genap 40 hari dan menghidangkan pulut kuning atau lebih dikenali nasi kunyit di Terengganu untuk dihadiahkan kepada saudara dan rakan terdekat," katanya yang mengusahakan sebuah agensi pelancongan.
'Guane gamok'
Katanya, kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja dengan mengadakan pelbagai mitos antaranya hantu bagi menakutkan anak-anak mereka juga turut menjadi amalan Cina Peranakan Terengganu.
"Bagi Cina Peranakan, kami yakin kepercayaan ini bagi tujuan menakutkan anak-anak supaya berada di rumah pada waktu berkenaan dan kami sekeluarga boleh makan malam bersama," katanya.
Menurutnya, percakapan dan tutur kata Cina Peranakan juga sama seperti masyarakat Melayu contohnya loghat Terengganu yang popular seperti guane gamok, acu guna, ketik-ketik, hangit, senget dan doh owh.
Daripada tujuh amalan itu yang terakhir adalah pakaian kerana Cina Peranakan satu ketika dulu menggunakan baju kebaya atau dipanggil 'Baju Kebaya Potong Kot' dan kain batik jawa bagi perempuan manakala lelaki memakai kain pelekat dan baju pagoda selain kemeja apabila keluar rumah.
Chuan Bin berkata, lebih menarik dalam golongan itu mereka menggunakan nama timangan seperti Mek dan Awang sama seperti masyarakat Melayu selain gelaran lain bagi rakan-rakan antaranya Salleh, Pok Mat dan Pok Yok.
"Terengganu memang sinonim dengan nasi dagang dan keropok lekor malah bagi masyarakat Cina Peranakan makanan ini bukan asing kerana mereka mampu memasak makanan berkenaan.
"Mengikut fakta sejarah, kini keluarga Cina Peranakan di Terengganu sudah memasuki 11 generasi," katanya yang juga generasi keempat daripada keluarganya yang berketurunan Cina Peranakan Terengganu.
Adat resam setempat
Menurutnya, bagi golongan Cina Peranakan yang dilahirkan sekitar tahun 1950-an, mereka masih kuat mengamalkan semua amalan dalam cara hidup seharian terutama cara makan dan berpakaian.
Katanya, bagi masyarakat Baba dan Nyonya mereka melakukan perkahwinan campur namun bagi Cina Peranakan Terengganu tidak berbuat demikian malah mereka hanya mengikut adat resam masyarakat setempat.
Menceritakan serba sedikit mengenai perbandingan masyarakat Baba dan Nyonya dengan Cina Peranakan Terengganu, Chuan Bin berkata, ketika pemerintahan Dinasti Ming masyarakat Cina dari tanah besar yang berhijrah dilarang membawa isteri dan anak.
"Oleh itu, apabila tiba di nusantara mereka berkahwin dengan masyarakat setempat dan ini berlainan dengan Cina Peranakan Terengganu yang berhijrah ketika pemerintahan Dinasti Qing yang membenarkan lelaki membawa isteri serta anak.
"Peninggalan sejarah kedatangan masyarakat Cina Peranakan ini masih boleh dilihat di Kampung Tiruk dan Bukit Datu selain beberapa lagi lokasi di sepanjang Sungai Terengganu serta Sungai Nerus," katanya.
Dia bimbang jika gagal mewarisi sebaik mungkin apa yang diamalkan nenek moyang mereka yang datang ke negeri itu, identiti Cina Peranakan akan hilang berikutan peredaran zaman dan kemodenan.
Persaudaraan rapat Cina Tirok
Cina Tirok adalah merujuk kepada orang Cina Peranakan yang tinggal di Kampung Tirok dan Kampung Banggul Kemang yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu.
Penduduk Kampung Banggul Kemang dan Kampung Tirok mempunyai tali persaudaraan yang rapat. Mereka menganggap diri sebuah komuniti yang sama.
Secara kolektif, mereka dikenali sebagai orang Cina Tirok. Justeru itu, nama Tirok digunakan untuk mewakili kedua-dua perkampungan itu. Jumlah penduduk tetap di Tirok ialah 73 orang.
Bilangan penduduk tetap yang agak kecil ini disebabkan penghijrahan keluar orangnya, terutamanya generasi muda, yang tidak berminat mengambil alih aktiviti pertanian daripada generasi tua (kebanyakannya dalam lingkungan umur 60-an dan 70-an).
Kebanyakan mereka menetap dan bekerja di Kuala Terengganu. Ada yang mendirikan keluarga di situ. Mereka hanya balik ke Tirok pada hujung minggu untuk beberapa jam sebelum pulang ke Kuala Terengganu kembali.
Perkampungan ini terletak di tepi Jalan Serada iaitu satu-satunya jalan yang membelahi kedua-dua buah perkampungan ini dengan dikelilingi beberapa buah perkampungan Melayu, iaitu Pengadang Baru, Kampung Beladau, Kampung Banggul Chempedak, Kampung Baru Serada, Kampung Banggul Tok Ku dan Kampung Banggul Mempelam.
Kampung Banggul Kemang terletak di sebelah kiri Jalan Serada, manakala Kampung Tirok terletak di sebelah kanannya (mengikut hala dari persimpangan di Pengadang Baru).
Pola penempatan kedua-dua perkampungan itu sejajar dengan jalan raya, masing-masing terdiri daripada rumah yang bertaburan di kawasan berjarak kira-kira satu kilometer.
Kini hanya ada 14 keluarga peranakan Cina menetap di Kampung Banggul Kemang manakala bilangan keluarga peranakan Cina yang menetap di Kampung Tirok adalah 8 keluarga.
Secara tradisi, penduduk di situ menceburi aktiviti penanaman getah. Getah mula ditanam di situ pada tahun 1919 (Gosling 1964). Rumah mereka dikelilingi kebun kecil getah berkeluasan kira-kira satu hektar. Mereka juga menanam pokok buah-buahan, seperti durian, duku, langsat, rambutan dan salak sebagai sumber pendapatan tambahan.
Bermula hari ini 27.5.2016 sehingga 3.6.2016, berlangsung Karnival Peranakan Terengganu di Kampung Cina Kuala Terengganu. Banyak acara menarik sedang menanti anda.
Cerita ditulis oleh Oleh Nazdy Harun dari rencana@hmetro.com.my
0 Comments